(a) DEFINISI DAN MAKSUD
Perpaduan ialah penyatuan, dan darjah serta jenis penyatuan yang dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumpulan dan jiran mereka. Ia merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia. Istilah ini lazimnya digunakan dalam bidang sosiologi ataupun sains kemasyarakatan . Asas perpaduan bagi sesuatu masyarakat berbeza. Dalam masyarakat ringkas atau biasa ia mungkin berdasarkan hubungan kekeluargaan dan nilai saling menghormati dan menyayangi. Bagi masyarakat yang lebih kompleks pula, terdapat beberapa teori berkaitan faktor yang menyumbang kepada perpaduan sosial ataupun masyarakat .
Daripada sudut Islam pula , Asabiyyah pula merujuk kepada perpaduan sosial dengan penekanan kepada kesatuan, kesedaran kumpulan, dan kepaduan sosial, pada asalnya di dalam konteks " kepuakan " dan "kesukuan", tetapi kadangkala digunakan untuk nasionalisme moden, menyerupai sistem komunalisme. Istilah Ibnu Khaldun secara amnya sama dengan perpaduan . Ibnu Khaldun dengan secara efektif menyatakan bahawa setiap dinasti memiliki benih-benih kejatuhannya. Beliau menerangkan bahawa keluarga yang memerintah lazimnya muncul dari pinggir empayar dan menggunakan kepaduan yang terdapat dalam masyarakat pinggiran untuk membawa perubahan kepada pimpinan.
Mengikut pandangan barat iaitu Émile Durkheim , jenis - jenis perpaduan masyarakat itu seiringan dengan jenis atau peribadi akhlak masyarakat tersebut . Durkheim memperkenalkan istilah perpaduan mekanikal dan organik sebagai sebahagian daripada teorinya berkaitan pembangunan masyarakat dalam karyanya , The Division of Labour in Society (1893) (Pembahagian Tenaga Kerja dalam Masyarakat). Dalam sesuatu masyarakat yang mempamerkan perpaduan mekanikal, keburukan dan perpaduan datang daripada warga yang serupa – warganya berasa terkait melalui kerja, pendidikan dan latihan keagamaan, dan cara hidup. Perpaduan mekanikal terdapat dalam masyarakat yang "tradisional" dan masyarakat kecil. Perpaduan organik pula muncul daripada pergantungan saling dalam kalangan ahli masyarakat. Keadaan saling bergantung ini pula muncul ekoran pengkhususan kerja dan warga masyarakat yang saling melengkapi, yakni perkembangan yang terdapat dalam masyarakat "moden" dan "industri".
Menurut Kamus Bahasa Melayu terbitan Fajar Bakti Sdn Bhd , pendidikan bermaksud sesuatu proses belajar dan juga mengajar. Perpaduan atau solidarity dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air . Di samping itu juga , definisi perpaduan menurut Kamus Dewan 1994 mentakrifkan sebagai penggabungan , peleburan , persesuaian , kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya . Perpaduan atau µsolidarity ini juga dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air . Hj. Samat Buang (2003) mentakrifkan perpaduan sebagai satu penyatuan tenaga, fikiran, cita-cita dan pengorbanan dalam satu ikatan yang sepadu , kuat dan maju .
Usaha kerajaan untuk mewujudkan ‘sistem amaran konflik perkauman’ sebagaimana yang dicanangkan tahun lalu mengheret beberapa persepsi terhadap pencapaian negara dalam usaha menyemarakkan perpaduan kaum. Antara persoalan yang terbangkit ialah sejauh manakah usaha kerajaan selama ini berhasil untuk memakmurkan perpaduan kaum, dan apakah pencapaian usaha perpaduan kaum selama ini amat lemah sehingga kerajaan memerlukan suatu sistem indikator bagi mengesan konflik perkauman.
Pada catatan sejarah, usaha serius Malaysia ke arah perpaduan kaum dilihat mula bercambah setelah tercetusnya tragedi 13 Mei apabila Majlis Perpaduan Negara dan selaras dengan itu Kementerian Perpaduan Negara ditubuhkan. Namun saya lihat bahawa bibit-bibit usaha ke arah yang sama juga telah dibenihkan dalam Perlembagaan Kemerdekaan 1957 lagi. Dalam konteks ini klausa-klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjurus kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, peruntukan pelaksanaan sekolah jenis kebangsaan dan penggunaan bahasa kaum minoriti, telahpun dimaktubkan melalui Artikel 152 dan 153, yang seringkali kita rujuk sebagai ‘kontrak sosial’ antara pemimpin-pemimpin parti pelbagai etnik yang dominan di Malaysia.
Sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh kajian Furnival (1956), negara-negara Dunia Ketiga pascamerdeka amat teruk dikacaubilaukan oleh penjajah dengan polisi ‘pecah dan perintah’. Polisi sedemikian juga amat lumayan diamalkan oleh pihak British ke atas datuk nenek kita dahulu sebelum merdeka kerana pendekatan sedemikian menguntungkan pihak penjajah. Bagi Furnival falsafah sedemikian telah mewujudkan dan mengukuhkan pluralisme atau suatu bentuk masyarakat berbilang kaum yang ‘they mix but do not combine’ atau dalam bahasa ibunda, ‘mereka bercampur tetapi tidak bersatu.’ Bagi Furnival falsafah pluralisme sedemikian lebih banyak mendatangkan bencana kepada kestabilan sosial dan politik negara. Menurut Dr Candra Muzaffar, masyarakat kita lebih cenderung kepada hubungan ‘fungsional daripada hubungan empatetik’. Makudnya kita sekadar berhubungan di pejabat, di pasar dan di tempat kerja, tetapi kita tidak mahu berkongsi masalah yang melampaui sempadan-sempadan persekitaran tersebut.
Sebaliknya kita juga sedar bahawa ‘perpaduan kaum’ adalah pemboleh ubah penting dalam menentukan kestabilan politik, sosial, malah ekonomi. Perpaduan kaum itu menuntut hubungan ‘empatetik’ sebagaimana disarankan oleh Dr Chandra. Mana-mana kerajaan jua pastinya berusaha untuk menentukan elemen-elemen penting perpaduan kaum ini digarap supaya pembangunan sosial, ekonomi dan infrastruktur dapat dicapai. Konsep masyarakat majmuk sebagaimana yang dilihat oleh Furnival, memperakui dan membenarkan keperbedaan nilai, norma, budaya dan adat resam sesuatu kaum minoriti. Malah dalam konteks Malaysia, kerajaan amat prihatin dan kaya timbang rasa sehingga toleransi dalam konsep pluralisme itu, tanpa disedari, sedikit-sebanyak telah menjadi peyumbang kepada benih-benih perkauman sesama kita.
(b) MASALAH PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL
Malaysia tidak memandang sepi akan bidang sosial ialah aspek perpaduan di Malaysia. Isu ini sering dipaparkan melalui media massa seperti radio, kaca televisyen mahupun saluran Internet. Namun isu ini seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sebelum kudis menjadi barah semua pihak haruslah berganding bahu ibarat bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat untuk membendung masalah perpaduan di negara kita. Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan dan bukan seperti hangat-hangat tahi ayam masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.
Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh Kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah utama dari sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan . Cabaran ini berkait dengan cabaran ke lima yang berbunyi mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur dengan rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada negara. Cabaran ini berkait pula dengan cabaran ke tujuh iaitu untuk mewujudkan masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, iaitu sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada individu tertentu sahaja .
(c) HALANGAN DAN KESUKARAN UNTUK PERPADUAN DAN INTEGRASI
Terdapat beberapa faktor sejarah yang menyulitkan proses pencapaian perpaduan di Malaysia . Antaranya ialah seperti ditunjukkan di bawah :
(i) Agama dan kebudayaan
Ø Setiap kumpulan etnik mempunyai agama dan kebudayaan yang berlainan. Setiap kaum pula mempunyai adat resam, bahasa, kesenian, budaya dan sistem nilai yang berbeza. Masing-masing kurang mengenali, memahami dan seringkali menganggap mereka sahaja yang terbaik. Sikap ini menguatkan perasaan buruk sangka yang menghalang pergaulan baik antara pelbagai kaum.
(ii) Dasar Penjajah British
Ø Penjajah British mengamalkan dasar pecah dan perintah yang menjarakkan kumpulan-kumpulan etnik demi kepentingan dan keselamatan mereka sendiri. Penjajah sengaja menentukan status dan peranan yang berlainan bagi kaum yang tertentu. Interaksi antara kaum menjadi terbatas dan lahirlah sikap prasangka negatif yang kukuh antara rakyat tempatan yang berbilang etnik.
(iii) Sistem pendidikan, persekolahan dan bahasa yang berlainan
Ø Laporan Razak menyebut bahawa tiada satu sistem pendidikan nasional di Tanah Melayu di mana setiap etnik lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Kurikulum yang digunakan juga tidak sama. Ada pula yang berpusat ke negara nenek moyang mereka, tidak terdapat bahasa pengantar yang sama. Keadaan ini melebarluaskan lagi jurang pergaulan, menghasilkan pandangan yang berlainan dan menjejaskan persefahaman dan perhubungan sesama rakyat disamping mewujudkan keperibadian dan perwatakan yang berbeza tanpa mempedulikan pembentukan warga negara yang beridentitikan satu negara.
(iv) Amalan ekonomi yang berlainan
Ø Setiap etnik menjalankan aktiviti ekonomi yang tertentu dan mendiami kawasan yang berlainan. Keadaan ini mewujudkan jurang pendapatan yang tidak seimbang dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan etnik yang berlainan jenis dan rasa serta mengakibatkan perpaduan negara terancam.
(v) Perbezaan politik mengikut bangsa, kaum dan etnik
Ø Kewujudan persatuan politik, sosial dan ekonomi berdasarkan bangsa, kaum dan etnik tertentu telah memperkuatkan identiti sesuatu kumpulan dan menimbulkan perasaan syakwasangka kerana setiap kumpulan hanya memperjuangkan hak dan kepentingan kumpulan tertentu sahaja. Parti-parti politik yang berasaskan kepada suku kaum juga memainkan pelbagai isu sensitif seperti bahasa, budaya, ekonomi dan hak keistimewaan sehingga memburukkan lagi masalah perpaduan.
(vi) Pendudukan Jepun
Ø Kemasukkan tentera Jepun ke Tanah Melayu menambah jurang permusuhan antara orang Melayu dan orang Cina. Sebilangan besar tentera anti Jepun terdiri dari orang-orang Cina, sementara ramai pula orang Melayu yang diambil oleh tentera Jepun untuk menjadi askar dan polis. Keadaan ini menjadikan menjejaskan persefahaman dan menimbulkan perasaan kurang senang antara masyarakat Melayu dan Cina .
(d) CONTOH PERISTIWA YANG TELAH DIAMBIL OLEH PIHAK KERAJAAN DALAM MENYUBURKAN INTEGRASI DAN PERPADUAN DI MALAYSIA
(i) PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969
Penjajahan British melalui dasar pecah dan perintah serta mementingkan kuasa dan ekonomi menyebabkan terjadi jurang perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik antara kaum dan wilayah. Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan peluang yang sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti politik yang telah menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu. Kehilangan dua pertiga majority parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, diikuti kelantangan beberapa pemimpin parti pembangkang dan penyokong mereka yang menimbulkan perasaan saling membenci dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Kemuncak manifestasi perkauman ini ialah peristiwa berdarah13 Mei 1969. Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan sebuah badan khas yang dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Majlis ini dibertanggungjawabkan untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin, adil dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum. Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan nasional sukar dicapai jika terdapat jurang perbezaan yang terlalu besar terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat pelbagai kaum. Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan.Fungsi utama majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru. Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan negara adalah bertujuan agar fikiran, pendapat dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara pemuwafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.
(e) USAHA YANG BOLEH DIJALANKAN UNTUK MERAPATKAN PERPADUAN KAUM
Dalam mengharungi arus globalisasi serta menerajui dunia ketiga, kita seyogiannya memperkasakan keeratan serta perpaduan kaum di Malaysia bagi mengelakkan berlakunya rusuhan kaum. Justeru, variasi kaum haruslah bergerak sederap bagai aur dengan tebing sebagai satu sinergi menjurus ke wawasan 2020. Menurut kata Perdana Menteri yang keenam, keakraban rencaman kaum merupakan penawar yang paling mujarab bagi menyemarakkan keakraban kaum bak kata pepatah’ bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat’. Selain itu, sinergi daripada semua pihak berganding bahu melakukan usaha-usaha yang proaktif dan efektif dalam merealisasikan aspirasi rakyat seantero Malaysia.Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilaksanakan bagi memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia?
Dalam mengharungi arus pemodenan, usaha yang efisien harus dibuat bagi membentuk perpaduan kaum di negara kita. Pihak keraajaan mempunyai peranan dalam merealisasikan perpaduan kaum. Usaha kerajaan mengadakan Majlis Rumah Terbuka peringkat kebangsaan untuk menyambut perayaan kaum utama Malaysia amat dialu-alukan. Menurut Perdana Menteri kita, konsep Satu Malaysia dapat dijayakan melalui majlis sebegini. Semasa kerajaan mengadakan majlis rumah terbuka, sarwajagat negara kita yang tediri daripada pelbagai kaum memberi komitmen yang tinggi. Mereka menghadirkan diri dan mengitimkan hubungan mereka dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai kaum dan latar belakang. Interaksi antara kaum dalam majlis sebegini dapat memperkasakan hubungan antara kaum di Malaysia. Tuntasnya, kemajuan negara kita bergantung kepada perpaduan kaum seperti kata pepatah ‘bersatu teguh, bercerai roboh’.
Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Namun, sikap negatif masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang hanya bekerja tidak tentu masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat perpaduan sukar untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus dijalinkan seperti aktiviti gotong-royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut supaya perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama
Sejajar dengan konteks perbicaraan, dengan menganjurkan program Hari Keluarga, semangat muhibah antara kaum yang berbeza di Malaysia dapat disemarakkan. Agenda program ini bertujuan untuk mewujudkan nilai keakraban dan membendung sikap diskriminasi. Serentak dengan itu, menerusi program hari keluarga ini, pelbagai lapisan masyarakat yang hadir dapat berkomunikasi serta bertukar-tukar idea dan pendapat berkaitan dengan sesuatu isu. Sebagai contoh, sekolah-sekolah di seluruh pelosok negara juga dapat melibatkan diri dalam sambutan Hari Keluarga. Di samping itu, kerajaan juga boleh mengadakan sambutan ini khas untuk kakitangan kerajaan. Jelaslah bahawa usaha dalam membentuk perpaduan kaum di Malysia boleh direalisasikan dengan program Hari keluarga yang berpotensi untuk memperkasakan hubungan antara kaum di negara kita.

Seiring dengan itu, system pendidikan merupakan satu jalan komunikasi yang pintas untuk merealisasikan hasrat ini. Pengenalan satu sistem pendidikan yang sama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewujudkan perpaduan kaum. Selain itu, sekolah wawasan yang menempatkan tiga jenis sekolah yakni sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan cina dan sekolah jenis kebangsaan tamil juga mempercepat proses perpaduan kaum. Sebagai contoh, aktiviti kumpulan yang dijalankan dapat memperkasakan hubungan kaum di peringkat sekolah. Selain itu, penggunaan bahasa Malaysia iaitu bahasa rasmi negara kita sebagai bahasa perantaraan di sekolah-sekolah kebangsaan turut membolehkan pelbagai kaum berinteraksi antara satu sama lain seperti slogan bahasa jiwa bangsa. Izharnya, memang tidak boleh kita nafikan bahawa sistem pendidikan negara kita menjadi pemangkin dalam proses memperkasakan hubungan sesama kaum.
Dari kaca mata yang lain, penerapan nilai-nilai budaya dan warisan juga merupakan salah satu langkah dalam mendekati matlamat dan harapan para pemimpin kita dalam mencapai perpaduan kaum. Negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yakni Melayu, Cina dan India. Rakyat boleh mengaplikasikan budaya kaum mereka dari aspek pemakanan, pemakaian, dan peradaban serta berkongsi dengan kaum-kaum lain. Sebagai contoh, semakin ramai wanita bukan Melayu yang memakai baju tradisional orang Melayu iaitu baju kurung ke majlis-majlis dan kuliah-kuliah. Makanan India seperti roti canai dan tose juga semakin diminati oleh kaum yang lain. Oleh itu, kemasukan nilai-nilai budaya dan warisan berbilang kaum ini dapat menimbulkan rasa hormat antara satu sama lain dan seterusnya mengeratkan lagi perpaduan kaum dalam negara.
Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara. Selaras dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan .
Sebagai intiharnya, dapat disimpulkan bahawa keamanan dan kemakmuran sesebuah negara perlulah bergantung kepada perpaduan kaum di Malaysia. Pelbagai pihak harus bergerak sederap, seia sekata dalam iltizam mencapai hasrat keharmonian dan perpaduan negara bak kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Perpaduan kaum merupakan suatu misi yang amat penting agar Malaysia dapat mengorak langkah menuju ke arah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah negara yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Rakyat adalah aset negara yang paling bernilai dalam pembinaan negara yang berbilang kaum demi visi Wawasam 2020.
(f) KEPENTINGAN PERPADUAN
Malaysia ialah negara yang namanya harum di persada dunia kerana kehebatan rakyatnya dalam mengekalkan perpaduan kaum yang berbilang-bilang bangsa. Pada zaman dahulu, penjajah British telah membawa masuk kaum Cina dan India untuk kepentingan mereka sendiri dalam usaha mengeksploitasi ekonomi yang mewujudkan jurang sosial dan ekonomi yang amat besar antara ketiga-tiga kaum terbesar di Tanah Melayu. Namun kini, masyarakat yang berbilang bangsa telah berjaya mengasimilasikan budaya masing-masing untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu teguh dan bersatu hati persis peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Namun persoalannya, apakah kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat?
Salah satu kepentingan perpaduan kaum adalah bagi menjamin keamanan negara. Perpaduan antara rakyat tidak kira bangsa dan agama adalah sangat vital supaya peristiwa berdarah yang terjadi pada 13 Mei 1969 akibat rusuhan antara kaum Cina dan Melayu yang telah mengorbankan banyak nyawa nirmala yang tidak bersalah tidak terulang kembali. Jika kaum-kaum tidak mempunyai persefahaman dan toleransi antara satu sama lain, persengketaan akan dapat dicetuskan dengan mudahnya. Keadaan ini akan menyebabkan hubungan yang dingin antara masyarakat yang berpecah belah dan akan tercetuslah pertengkaran-pertengkaran yang menggugat keamanan negara. Tegasnya, perpaduan kaum adalah penting untuk mengekalkan keamanan negara agar kemerdekaan negara kita dapat dikekalkan.
Dalam nada yang lain, perpaduan kaum dapat memajukan ekonomi negara. Masyarakat yang bersatu pada tentulah akan menggabungkan tenaga bersama agar dapat memajukan negara mengikut kebolehan dan kepakaran masing-masing tanpa mengira ras dan agama masing-masing. Tamsilnya, dalam perniagaan, masyarakat Melayu tidak hanya akan membeli barang dari penjual Melayu tetapi mereka akan turut membeli barang-barang yang dijual oleh kaum lain. Diskriminasi dalam kumpulan masyarakat dan pekerjaan dapat dielakkan kerana semua orang yang mempunyai semangat cinta akan negara mempunyai tujuan dan matlamat yang sama iaitu untuk menaikkan taraf hidup rakyat negara kita. Sesungguhnya, perpaduan kaum amat penting bagi meningkatkan ekonomi negara untuk memperbaiki taraf hidup rakyat.
Akhir sekali, imej negara akan dapat ditingkatkan melalui perpaduan kaum. Kita boleh lihat sendiri sikap toleransi dan hormati-menghormati yang dicerminkan oleh masyarakat kita apabila menyambut perayaan kaum masing-masing. Contohnya, kaum Melayu menghormati perayaan Tahun Baru Cina yang diadakan, malahan turut ikut serta memeriahkan perayaan tersebut dan berkongsi euforia momen-momen terindah bersama. Keadaan inilah yang menarik perhatian pelancong-pelancong asing untuk datang ke Malaysia bagi menyaksikan suasana yang amat jarang dilihat di negara asal mereka. Perpaduan kaum menjadikan rakyat Malaysia mudah untuk bergaul mesra dengan masyarakat luar kerana terbiasa hidup dalam komuniti yang mempunyai kaum yang pelbagai. Konsekuensinya, masyarakat Malaysia boleh bersikap ramah dengan para pelancong yang datang dari pelbagai pelosok dunia. Intihanya, perpaduan kaum secara tidak langsung dapat meningkatan imej negara kita sebagai negara yang sejahtera, bertoleransi dan bersatu padu di mata dunia.
Berdasarkan huraian-huraian yang telah dijelaskan, izharlah bahawa perpaduan kaum sememangnya memberi banyak maslahat dan impak dalam kehidupan kita. Persefahaman dan sikap hormat-menghormati antara kaum menjadi pemangkin utama dalam pencetusan perpaduan kaum. Konklusinya, marhaen perlulah mempunyai semangat kekitaan agar rakyat tidak berpecah belah. Marilah kita bersama-sama bersinergi dalam mengekalkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan tidak menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Jika semua rakyat bersatu padu dengan mengetepikan perbezaan, tentulah perpaduan dan permuafakatan dapat dikecapi.


CONTOH GAMBAR AKTIVITI :

Menyambut perayaan pelbagai kaum bersama-sama
Sambutan Hari Kemerdekaan di sekolah bersama murid-murid
(g) RUMUSAN KESELURUHAN
Daripada tugasan, kita dapat memahami bahawa keamanan dan kedamaian Malaysia diwujudkan dengan pelbagai peranan yang dimainkan oleh semua rakyat. Iktibar yang kita peroleh ialah kita mestilah saling menghormati antara satu sama lain. Selain itu, kita hendaklah memajukan negara dengan menjalin hubungan baik dengan semua kaum di negara ini. Di samping itu, perselisihan hendaklah diselesaikan melalui perundingan. Saya berharap agar masa depan politik Malaysia yang lebih cemerlang. Selanjutnya, setiap lapisan masyarakat di bawah payung 1 Malaysia haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia supaya negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan rakyat di negara lain .
Keunikan perpaduan dan integrasi rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum sukar dicapai tanpa pendedahan awal yang berstrategik, keintiman, persefahaman semua pihak, kepercayaan dan pegangan kukuh terhadap ajaran agama, di samping menghayati dengan penuh keinsafan intipati dan kandungan tersurat dan yang tersirat dalam kesemua prinsip rukun negara.Penghayatan Rukun Negara untuk mencapai perpaduan dan integrasi nasional yang padu lagi jitu dilaksanakan di negara ini melalui proses pendidikan dan pembelajaran berdasarkan kurikulum Kebangsaan, pembabitan dalam kokurikulum yang teratur dan terancang, penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian, penyertaan semua warga organisasi dalaman sekolah dan di luar sekolah mahupun seluruh anggota masyarakat yang juga warganegara Malaysia dalam pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan kehidupan rakyat yang bersatu padu secara kolektif serta jalinan perhubungan yang baik dan mesra yang diamalkan secara ikhlas dan penuh keinsafan oleh semua pihak berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara Malaysia. Kini kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat pro aktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan dan integrasi nasional akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Tuntasnya, semua pihak haruslah mengabungkan tenaga dan bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih lancar bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Ingatlah wahai rakyatku bahawa semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata .
“Apa yang penting, budaya hormat-menghormati yang menjadi teras perpaduan seluruh rakyat selama ini dipertahan dan diperkasakan serta menjadi contoh kepada generasi akan datang,” . Itulah kata - kata daripada ucapan Puan Sri Azizah ketika beliau menggalas jawatan timbalan perdana menteri ketika tahun 2019 . Beliau berkata budaya kunjung-mengunjung masyarakat pelbagai kaum di negara ini ketika musim perayaan yang masih dikekalkan sehingga hari membuktikan integrasi kaum di negara ini erat dan utuh. Sehinggakan beliau sentiasa mengakhiri ucapan dengan “Ini adalah kekuatan dan kebanggaan kita, rakyat Malaysia” yang membawa maksud sebagai rakyat Malaysia haruslah menjaga dan mempertahankan akhlak yang mulia dan sopan di mana sahaja .